malay: topik
#1 makanan & minuman
0546/03/M/J/26
Apakah yang anda makan untuk sarapan hari ini?
Pada pagi ini, saya makan roti bakar dengan kaya dan mentega untuk sarapan. Saya juga makan dua biji telur rebus dan minum segelas susu. Saya suka makanan ini kerana rasanya sedap dan mudah disediakan. Sarapan ini dapat memberikan tenaga yang mencukupi untuk memulakan hari saya. Kadangkala, saya juga makan nasi lemak atau bijirin apabila saya mempunyai lebih banyak masa.
Dengan siapakah anda biasanya bersarapan?
Biasanya, saya bersarapan dengan bapa saya di rumah sebelum pergi ke sekolah. Kami selalunya makan roti bakar atau bijirin bersama-sama. Kami juga akan berbual tentang rancangan dan aktiviti harian kami. Saya suka bersarapan dengannya kerana kami dapat meluangkan masa bersama-sama. Pada hujung minggu, saya dan keluarga saya pergi ke sebuah kedai kopi untuk bersarapan. Saya sangat menikmati pengalaman ini kerana kami dapat mencuba pelbagai makanan.
Apakah minuman kegemaran anda? [BS] Mengapa?
Soalan-soalan alternatif (jika perlu): Apakah minuman yang anda paling suka? [BS] Mengapa?
Minuman kegemaran saya ialah susu. Rasanya sedap dan ia membekalkan banyak nutrien. Susu mengandungi kalsium yang penting untuk menguatkan tulang dan gigi. Di samping itu, susu juga mengandungi protein yang membantu pertumbuhan dan perkembangan badan. Saya biasanya minum segelas susu setiap pagi. Menariknya, susu sesuai diminum bersama kebanyakan makanan. Contohnya, susu sangat sedap diminum bersama roti, bijirin, biskut dan kek.
Apakah makanan paling istimewa yang anda pernah cuba? [BS] Di manakah anda makan makanan ini?
Soalan-soalan alternatif (jika perlu): Apakah makanan paling unik yang anda pernah makan? [BS] Makanan ini boleh didapati di mana?
Makanan paling istimewa yang pernah saya cuba ialah asam laksa, iaitu makanan tradisional Malaysia. Saya pernah makan makanan ini di sebuah restoran Peranakan bersama keluarga saya. Pada mulanya, saya berasa agak terkejut kerana rasanya masam dan pedas. Walau bagaimanapun, saya akhirnya menyukainya kerana kuahnya sangat lazat dan mempunyai rasa yang unik. Asam laksa biasanya mengandungi mi, ikan, timun, bawang dan nanas. Makanan ini sangat popular di Pulau Pinang.
Adakah anda mahu menyediakan makanan anda sendiri pada masa depan? [BS] Mengapa?
Soalan-soalan alternatif (jika perlu): Pada masa depan, adakah anda akan memasak untuk diri sendiri? [BS] Mengapa?
Ya, semestinya! Saya ingin menyediakan makanan sendiri pada masa depan. Hal ini demikian kerana saya mahu menjadi seorang yang lebih berdikari. Selain itu, memasak sendiri dapat menjimatkan wang berbanding makan di restoran. Saya juga dapat memilih bahan-bahan yang segar dan berkhasiat untuk menjaga kesihatan saya. Walaupun saya belum mahir memasak, saya berharap dapat belajar daripada ibu atau nenek saya. Sebagai permulaan, saya ingin belajar menyediakan hidangan yang mudah seperti telur goreng, nasi goreng dan pasta. Pada masa lapang, saya juga boleh mencari resipi baharu melalui Internet.
#2 diri, keluarga, & rakan-rakan
0546/03/SN/22
Ceritakan tentang keluarga anda.
Keluarga saya terdiri daripada lima orang, iaitu ayah, ibu, dua orang adik lelaki dan saya. Ayah saya bekerja sebagai seorang doktor, manakala ibu saya ialah seorang suri rumah. Dua orang adik lelaki saya berumur dua belas dan lapan tahun. Mereka sangat aktif dan suka bermain bola sepak pada waktu lapang. Kadang-kala, saya bermain permainan papan bersama keluarga. Saya suka aktiviti ini kerana ia sangat menyeronokkan dan dapat mengeratkan hubungan kami.
Biasanya, apakah yang anda lakukan bersama keluarga anda pada waktu malam?
Pada waktu malam, saya biasanya makan malam bersama keluarga. Selepas itu, kami selalu bermain permainan papan seperti “Monopoly” di ruang tamu. Kami sangat menikmati masa bersama kerana pada waktu siang, semua orang sibuk dengan kerja atau sekolah. Selain itu, aktiviti ini dapat membantu kami mengurangkan tekanan dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Beritahu saya tentang hujung minggu yang menarik bersama keluarga atau kawankawan anda.
Soalan-soalan alternatif (jika perlu): Apakah yang anda lakukan bersama keluarga atau kawan anda pada hujung minggu lepas?
Satu hujung minggu yang paling menarik berlaku baru-baru ini apabila saya dan keluarga merancang untuk bersarapan di sebuah kafe. Datuk dan nenek saya menyertai kami. Namun begitu, semasa dalam perjalanan, kereta kami tiba-tiba berhenti di tengah jalan. Kami terpaksa keluar untuk memeriksa masalah. Mujurlah, ayah saya berjaya menyelesaikan masalah dengan cepat. Walaupun kejadian itu agak mencemaskan, kami masih dapat menikmati sarapan bersama.
Adakah anda rasa ianya penting untuk mempunyai kawan-kawan yang baik? [BS] Mengapa (tidak)?
Soalan-soalan alternatif (jika perlu): Adakah kawan-kawan penting? [BS] Mengapa (tidak)?
Pada pendapat saya, sangat penting untuk mempunyai kawan-kawan yang baik kerana mereka dapat memberikan sokongan apabila kita menghadapi masalah. Sebagai contoh, mereka dapat menggalakkan saya ketika saya berasa tidak yakin sebelum menyertai pertandingan. Tambahan pula, saya dapat berkongsi masalah dan perasaan saya dengan mereka. Mereka juga dapat membantu saya menyiapkan kerja rumah atau menjelaskan topik yang saya tidak faham.
Bagaimanakah anda akan terus kekal berhubung dengan rakan sekolah anda pada masa hadapan?
Soalan-soalan alternatif (jika perlu): Apakah yang akan anda lakukan pada masa hadapan untuk terus kekal berhubung dengan rakan sekolah anda?
Pada masa hadapan, saya akan terus berhubung dengan rakan-rakan sekolah melalui media sosial seperti WhatsApp dan Instagram. Melalui platform ini, kami dapat berbual dan berkongsi cerita tentang kehidupan harian kami. Selain itu, saya juga dapat menjemput mereka keluar untuk menonton filem, melawat muzium atau bersarapan bersama di sebuah kafe.
#3 kerjaya
0546/03/TN/M/J/22
Apakah kerjaya idaman anda?
Kerjaya idaman saya ialah menjadi seorang ahli terapi. Saya ingin membantu orang yang menghadapi masalah emosi dan tekanan dalam kehidupan mereka. Saya juga ingin mendengar masalah orang lain dan memberikan nasihat yang sesuai. Pada pendapat saya, pekerjaan ini sangat bermakna dan memuaskan. Hal ini kerana saya dapat membantu orang berasa lebih baik dan menjalani kehidupan yang lebih bahagia.
Siapakah yang anda kenal yang mempunyai kerjaya ini?
Setakat ini, saya tidak mengenali sesiapa secara peribadi yang bekerja sebagai ahli terapi. Namun begitu, saya pernah melihat dan membaca tentang ahli terapi melalui Internet. Saya mendapati bahawa mereka memainkan peranan penting dalam membantu orang yang menghadapi masalah emosi dan mental. Selain itu, mereka perlu mempunyai kesabaran, empati dan kemahiran komunikasi yang baik. Hal ini membuatkan saya lebih berminat untuk menceburi kerjaya ini.
Apakah yang telah anda lakukan untuk mencapai cita-cita anda ini?
Soalan-soalan alternatif (jika perlu): Apakah mata pelajaran yang telah anda belajar untuk menolong anda mencapai cita-cita anda?
Pada masa ini, saya telah berusaha untuk belajar dengan bersungguh-sungguh supaya mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Saya juga memberi perhatian kepada mata pelajaran seperti Biologi. Hal ini kerana saya ingin memahami tubuh manusia dan cara manusia berfungsi. Selain itu, saya cuba meningkatkan kemahiran komunikasi dengan berinteraksi dan bekerjasama dengan orang lain. Saya juga belajar menjadi pendengar yang baik dan memahami perasaan orang di sekeliling saya.
Bagaimanakah anda boleh menyumbang kepada masyarakat melalui kerjaya anda?
Soalan-soalan alternatif (jika perlu): Apakah manfaat kerjaya anda kepada masyarakat?
Melalui kerjaya sebagai ahli terapi, saya dapat membantu masyarakat dengan memberikan sokongan kepada orang yang menghadapi masalah emosi dan tekanan. Sebagai contoh, saya dapat mendengar masalah mereka dan membantu mereka mencari cara untuk mengatasi cabaran dalam kehidupan. Selain itu, saya dapat memberikan nasihat dan bimbingan supaya mereka lebih yakin terhadap diri sendiri. Saya juga berharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kesihatan mental. Pada pendapat saya, masyarakat yang mempunyai kesihatan mental yang baik dapat menjalani kehidupan yang lebih bahagia dan seimbang.
Apakah faedah bekerja semasa masih bersekolah?
Soalan-soalan alternatif (jika perlu): Adakah anda ingin bekerja sambilan semasa bersekolah? [BS] Mengapa?
Terdapat beberapa faedah bekerja semasa masih bersekolah. Pertama, pelajar dapat memperoleh wang sendiri dan mengurangkan beban kewangan ibu bapa. Selain itu, mereka dapat mempelajari kemahiran baharu seperti komunikasi, pengurusan masa dan kerja berpasukan. Pengalaman bekerja juga dapat mengajar pelajar menjadi lebih bertanggungjawab dan berdikari. Walau bagaimanapun, pelajar perlu mengimbangkan masa antara kerja dan pelajaran supaya prestasi akademik mereka tidak terjejas. Oleh itu, bekerja sambilan dapat memberikan banyak manfaat jika dilakukan secara sederhana.
#4 pergi melancong
0546/03/TN/M/J/24
Dengan siapakah anda biasanya pergi melancong?
Saya biasanya pergi melancong bersama keluarga saya, iaitu ibu, ayah dan dua orang adik lelaki saya. Kami suka melancong bersama-sama kerana dapat meluangkan masa yang berkualiti dan mengeratkan hubungan keluarga. Selain itu, ibu bapa saya juga dapat membawa kami melawat tempat-tempat yang menarik. Kami biasanya merancang aktiviti yang sesuai untuk semua ahli keluarga supaya setiap orang dapat menikmati percutian tersebut. Bagi saya, melancong bersama keluarga merupakan pengalaman yang sangat bermakna.
Apakah jenis tempat pelancongan yang anda paling suka?
Jenis tempat pelancongan yang saya paling suka ialah pulau-pulau yang mempunyai pantai yang cantik dan suasana yang tenang. Saya suka tempat yang mempunyai air laut yang jernih, pasir putih dan udara yang segar. Di samping itu, saya lebih gemar melawat tempat yang tidak terlalu sesak dengan pelancong. Hal ini kerana saya dapat berehat dengan lebih selesa. Saya juga suka menikmati pemandangan alam semula jadi sambil meluangkan masa bersama keluarga. Pada pendapat saya, tempat seperti ini sesuai untuk menghilangkan tekanan dan menenangkan fikiran.
Apakah aktiviti yang anda biasa lakukan apabila pergi melancong?
Soalan-soalan alternatif (jika perlu): Apakah perkara yang anda suka buat apabila pergi melancong?
Apabila pergi melancong, saya biasanya suka mengambil gambar pemandangan yang cantik sebagai kenangan. Selain itu, saya gemar mencuba aktiviti baharu seperti bereqnang, bersnorkel dan melihat terumbu karang serta ikan yang berwarna-warni. Saya juga suka bersiar-siar di sekitar kawasan pelancongan untuk meneroka tempat-tempat yang menarik. Kadangkala, saya akan membeli cenderamata untuk diberikan kepada rakan-rakan dan ahli keluarga. Aktiviti-aktiviti ini menjadikan percutian saya lebih menyeronokkan dan bermakna.
Ceritakan tentang pengalaman melancong terakhir anda. [BS] Apakah yang menarik?
Soalan-soalan alternatif (jika perlu): Di manakah tempat terakhir anda pergi melancong? [BS] Apakah yang anda buat di sana?
Pengalaman melancong terakhir saya ialah apabila saya pergi ke Pulau Redang bersama keluarga saya. Kami menginap di sebuah hotel yang terletak berhampiran pantai. Antara aktiviti yang paling menarik ialah bersnorkel dan melihat pelbagai jenis ikan serta terumbu karang. Bukan itu sahaja, kami juga berenang di laut dan mengambil gambar sebagai kenangan. Pada waktu petang, kami menikmati pemandangan matahari terbenam yang sangat cantik.
Apakah percutian idaman anda pada masa hadapan? [BS] Mengapa?
Soalan-soalan alternatif (jika perlu): Ke manakah anda ingin pergi melancong pada masa hadapan? [BS] Mengapa?
Percutian idaman saya pada masa hadapan ialah melancong ke sebuah tempat yang terkenal dengan makanan tempatan yang unik. Saya berharap dapat menikmati pengalaman kulinari dengan mencuba pelbagai hidangan tempatan di restoran dan gerai makanan. Sebagai contoh, saya ingin mencuba makanan jalanan yang terkenal. Hal ini demikian kerana saya suka meneroka makanan baharu. Selain itu, saya juga ingin membeli-belah barangan kraf tangan dan cenderamata untuk dibawa pulang sebagai kenangan. Saya memilih percutian seperti ini kerana dapat mengenali budaya tempatan melalui makanan dan tradisi mereka. Pada pendapat saya, pengalaman ini pasti menyeronokkan dan memberikan saya banyak kenangan baharu.
#5 cita-cita saya
0546/03/TN/M/J/25
Apakah cita-cita anda?
Cita-cita saya ialah menjadi seorang ahli terapi. Saya ingin membantu orang yang menghadapi masalah emosi dan tekanan dalam kehidupan mereka. Saya juga ingin mendengar masalah orang lain dan memberikan nasihat yang sesuai. Pada pendapat saya, pekerjaan ini sangat bermakna dan memuaskan. Hal ini kerana saya dapat membantu orang berasa lebih baik dan menjalani kehidupan yang lebih bahagia.
Bilakah anda mahu mencapai cita-cita ini?
Saya berharap dapat mencapai cita-cita ini selepas tamat pengajian di universiti. Sebelum itu, saya perlu belajar bersungguh-sungguh dan mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Selepas tamat sekolah, saya ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi atau terapi. Saya sedar bahawa perjalanan ini mengambil masa yang panjang, tetapi saya sanggup berusaha untuk mencapai impian saya.
Siapakah yang telah memberi inspirasi kepada anda untuk mencapai cita-cita ini? [BS] Bagaimana?
Soalan-soalan alternatif (jika perlu): Siapakah yang menggalakkan anda untuk mencapai cita-cita ini? [BS] Apakah cara dia membantu anda?
Orang yang memberi inspirasi kepada saya ialah ibu bapa saya. Mereka selalu mengajar saya bertimbang rasa terhadap perasaan orang lain dan membantu mereka apabila diperlukan. Selain itu, mereka menggalakkan saya untuk mencapai impian saya dan tidak mudah berputus asa. Oleh sebab itu, saya ingin menjadi seorang ahli terapi yang dapat membantu orang mengatasi masalah mereka.
Apakah langkah-langkah yang anda boleh ambil untuk mencapai cita-cita ini?
Soalan-soalan alternatif (jika perlu): Apakah yang anda boleh buat supaya cita-cita ini akan tercapai?
Terdapat beberapa langkah yang dapat saya ambil untuk mencapai cita-cita ini. Pertama, saya perlu belajar dengan bersungguh-sungguh dan mendapat keputusan yang cemerlang. Kedua, saya perlu melanjutkan pelajaran dalam bidang yang berkaitan. Di samping itu, saya perlu meningkatkan kemahiran komunikasi dan belajar menjadi pendengar yang baik. Akhir sekali, saya perlu berusaha apabila menghadapi cabaran.
Ceritakan satu kejayaan anda yang membanggakan.
Soalan-soalan alternatif (jika perlu): Beritahu tentang satu perkara yang telah anda lakukan yang membuat anda rasa gembira.
Satu kejayaan yang membanggakan saya ialah apabila saya berjaya mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Saya telah membuat jadual belajar dan mengulang kaji pelajaran setiap hari. Walaupun saya berasa penat dan menghadapi beberapa kesukaran, saya berusaha. Pengalaman ini mengajar saya bahawa minda yang betul dan usaha yang berterusan sangat penting untuk mencapai kejayaan.
#6 percutian
0546/03/TN/M/J/23
Apakah destinasi percutian kegemaran anda?
Destinasi percutian kegemaran saya ialah pulau-pulau yang mempunyai pantai yang cantik dan air laut yang jernih. Saya suka mengunjungi tempat seperti Pulau Redang. Hal ini kerana pemandangannya sangat indah dan suasananya tenang. Di sana, saya boleh melakukan aktiviti seperti snorkeling untuk melihat ikan dan batu karang yang berwarna-warni. Selain itu, saya juga suka bersiar-siar di sepanjang pantai sambil menikmati pemandangan laut. Bagi saya, tempat seperti ini sangat sesuai untuk berehat dan melupakan tekanan kehidupan harian.
Dengan siapakah anda selalu pergi bercuti?
Saya biasanya pergi bercuti bersama keluarga saya, termasuk ibu bapa dan dua orang adik lelaki saya. Kami suka mengunjungi pantai kerana terdapat banyak aktiviti yang dapat dilakukan bersama-sama. Sebagai contoh, kami dapat berkelah di tepi pantai, berenang dan menikmati pemandangan laut. Di samping itu, kami biasanya menginap di sebuah hotel supaya dapat berehat dengan selesa. Saya sangat suka bercuti bersama keluarga. Hal ini demikian kerana kami dapat meluangkan masa berkualiti bersama-sama.
Apakah ciri-ciri tempat percutian yang anda sukai? [BS] Mengapa?
Soalan-soalan alternatif (jika perlu): Mengapakah anda menyukai tempat percutian itu?
Saya lebih suka tempat percutian yang mempunyai pemandangan alam semula jadi yang cantik, terutamanya pantai yang bersih dan air laut yang jernih. Saya juga menyukai tempat yang mempunyai pelbagai aktiviti santai dan rekreasi seperti snorkeling, berenang dan berkelah. Seterusnya, saya lebih suka menginap di hotel yang selesa dan mempunyai kemudahan seperti kolam renang dan spa. Hal ini kerana saya dapat berehat dan menikmati percutian. Pada pendapat saya, tempat seperti ini dapat memberikan pengalaman percutian yang menyeronokkan dan menenangkan.
Apakah cabaran yang orang pada masa lalu hadapi untuk bercuti?
Soalan-soalan alternatif (jika perlu): Adakah bercuti pada masa sekarang lebih mudah dari masa dahulu? [BS] Mengapa?
Pada masa lalu, orang ramai menghadapi pelbagai cabaran untuk pergi bercuti. Contohnya, pengangkutan seperti kereta dan kapal terbang tidak semoden sekarang, jadi perjalanan mengambil masa yang lebih lama. Bukan itu sahaja, mereka juga sukar mendapatkan maklumat tentang destinasi percutian. Hal ini kerana belum terdapat Internet dan media sosial. Mereka terpaksa menggunakan peta atau mendapatkan maklumat daripada orang lain untuk merancang perjalanan. Oleh itu, bercuti pada masa lalu memerlukan lebih banyak masa dan persediaan berbanding dengan masa sekarang.
Apakah yang anda ingin lakukan dalam percutian pada masa akan datang? [BS] Mengapa?
Soalan-soalan alternatif (jika perlu): Di manakah destinasi percutian yang anda ingin pergi pada masa akan datang? [BS] Mengapa?
Pada masa akan datang, saya ingin pergi bercuti ke destinasi yang mempunyai makanan yang unik bersama keluarga saya. Saya berharap dapat menikmati pengalaman kulinari yang istimewa dengan mencuba pelbagai hidangan tempatan di restoran. Sebagai contoh, saya ingin mencuba makanan jalanan yang terkenal di kawasan tersebut. Hal ini kerana saya suka mencuba makanan baharu. Selain itu, saya juga ingin membeli-belah barangan kraf tangan dan cenderamata untuk dibawa pulang sebagai kenangan.