TEMA 1: MASYARAKAT, POLITIK, DAN PENTADBIRAN

Politik dan Pentadbiran: Piagam Madinah

PENGENALAN

Pembentukan negara Islam Madinah yang berdaulat dicirikan bukan sahaja dengan kewujudan pemimpin dan sempadan negara, tetapi juga dengan pelaksanaan sistem perundangan bertulis yang lengkap, iaitu Piagam Madinah (Sahifah Madinah). Piagam ini terdiri daripada 47 fasal yang merangkumi pelbagai aspek termasuk struktur kepemimpinan, tanggungjawab setiap warga Madinah, jaminan dan pengiktirafan kepada golongan bukan Islam, serta pengenalan konsep ummah yang menyatukan semua pihak di bawah satu pemerintahan.

Kepentingan Piagam Madinah dapat dilihat daripada peranannya dalam memastikan kestabilan politik, keharmonian sosial, dan keamanan negara Madinah yang terdiri daripada pelbagai agama dan suku kaum. Hal ini juga menjadikan Nabi Muhammad SAW bukan sahaja sebagai pemimpin agama tetapi juga sebagai pemimpin negara yang membawa nilai keadilan dan kesaksamaan kepada seluruh warga Madinah. Kesannya, Piagam ini telah mengangkat kewibawaan dan legitimasi Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin negara, sekaligus menjadikan Madinah contoh negara Islam yang teratur dari sudut pentadbiran dan pemerintahan.

PETA KONSEP

Faktor Penggubalan Piagam Madinah

  • Piagam Madinah
  • Kandungan dan Prinsip Utama Piagam Madinah
  • Peranan dan Kepentingan Piagam Madinah
HASIL PEMBELAJARAN
  • Mengetahui peranan dan kepentingan Piagam Madinah dalam pentadbiran Nabi Muhammad SAW.
FAKTA SEJARAH
  • Dalam teks aslinya, fasal-fasal ini dikemukakan sebagai satu urutan panjang tanpa pembahagian bab atau judul khusus.
  • Pengkategorian kepada bab dan tajuk tertentu merupakan usaha para sarjana bagi memudahkan pemahaman dan kajian.
Latar Belakang Piagam Madinah
  1. Pembentukan negara Islam Madinah selepas peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW disempurnakan dengan penggubalan Piagam Madinah pada tahun 622 Masihi. Kewujudannya dianggap sebagai perlembagaan bertulis pertama yang memenuhi syarat-syarat sebuah negara; terdiri daripada 10 bab dan 47 fasal yang terbahagi kepada dua bahagian utama.
  2. Bahagian pertama terdiri daripada 23 fasal yang menjelaskan tentang tanggungjawab bersama umat Islam dan hubungan umat Islam dengan golongan bukan Islam, khususnya Yahudi.
  3. Bahagian kedua terdiri daripada 24 fasal yang memperincikan tentang hak dan tanggungjawab golongan bukan Islam terhadap negara Islam.
  4. Secara umum, Piagam Madinah menyentuh perkara seperti berikut:
    (a) Perjanjian yang berkaitan dengan golongan Islam
    (b) Perjanjian yang berkaitan dengan golongan Yahudi
    (c) Perjanjian yang berkaitan dengan golongan Musyrikin
    (d) Perjanjian yang melibatkan semua pihak, termasuk peraturan-peraturan umum negara.
  5. Piagam Madinah berbeza dengan karya atau dokumen pemerintahan terdahulu yang wujud daripada pelbagai tamadun. Antaranya adalah seperti berikut:
    (a) The Constitution of Athens yang lebih bersifat sebagai catatan evolusi amalan pemerintahan dan perkembangan sistem perlembagaan di Athens.
    (b) Shujing (dikenali juga sebagai Book of Documents atau Classic of History) merupakan karya Confucius yang dijadikan sebagai bahan bacaan dan pengajaran bagi golongan bangsawan serta bakal pemimpin kerajaan.
    (c) Arthasastra karya Kautilya yang merupakan sebuah karya mengenai ilmu pemerintahan dan pentadbiran negara khususnya pada era pemerintahan Chandragupta Maurya.
JADUAL 3.1 Struktur kandungan Piagam Madinah
BabPerkaraFasal
1Pembentukan ummah1-2
2Hak asasi3-10
3Perpaduan seagama11-15
4Penyatuan seluruh warganegara16-23
5Golongan minoriti24-35
6Tanggungjawab warganegara36-38
7Melindungi negara (Keselamatan)39-41
8Pemimpin negara42-44
9Perdamaian45-46
10Penutup47
Faktor Penggubalan Piagam Madinah
  1. Salah satu faktor utama yang membawa kepada penggubalan Piagam Madinah ialah keperluan untuk mewujudkan suatu sistem perundangan yang lengkap dan sistematik sebagai asas bagi pentadbiran negara dan pemerintahan Islam Madinah.
  2. Keperluan ini timbul kerana negara kota Madinah telah melalui perubahan signifikan bukan hanya dari segi pertukaran nama (dahulunya Yathrib) tetapi juga dari aspek struktur kepimpinan dan demografi penduduk yang semakin kompleks.
  3. Sebagai pemimpin tertinggi, Nabi Muhammad SAW berdepan dengan cabaran untuk mentadbir sebuah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa, dan budaya. Dengan wujudnya pelbagai golongan termasuk kaum Arab dan Yahudi, maka sebuah perlembagaan bertulis yang dapat menjamin keharmonian dan keadilan bagi semua pihak menjadi suatu keperluan yang mendesak.
  4. Faktor seterusnya ialah hasrat Baginda untuk menyatukan pelbagai suku kaum yang wujud di Madinah dan seterusnya merealisasikan konsep ummah yang menjunjung nilai perpaduan dan solidariti. Piagam ini juga bertujuan menghentikan sebarang bentuk perpecahan yang berpunca daripada semangat asabiah yang melampau.
  5. Penggubalan Piagam Madinah juga bermatlamat untuk menghapuskan permusuhan, prasangka, dan prejudis khususnya dalam kalangan pelbagai kelompok agama dan kaum. Dengan itu dapat menjamin kedudukan dan hak golongan bukan Islam agar dapat hidup bersama secara aman dan saksama. Langkah ini dilaksanakan bagi mengelakkan eksploitasi dan penindasan yang pernah berlaku sebelum ini, khususnya oleh golongan Yahudi yang mengangkat kedudukan sendiri melebihi pihak lain.
  6. Faktor lain ialah keperluan untuk membentuk sebuah sistem keselamatan negara yang mantap dan berkesan bagi menghadapi ancaman dari luar, khususnya daripada golongan Musyrikin Quraisy yang masih berdendam terhadap Nabi Muhammad SAW dan umat Islam Madinah.
  7. Sehubungan itu, Piagam Madinah menetapkan bahawa semua penduduk Madinah, tanpa mengira agama atau keturunan wajib bersama-sama mempertahankan negara dan dilarang keras daripada bersekongkol dengan pihak musuh.
  8. Penggubalan dan pengisytiharan Piagam Madinah berperanan sebagai instrumen perundangan dan pentadbiran yang signifikan bagi melahirkan warga Madinah yang setia kepada negara dan pemimpin, serta mempunyai jati diri yang utuh.
Kandungan dan Prinsip Utama Piagam Madinah
Kandungan Utama Piagam Madinah
  1. Pengiktirafan Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin tertinggi
    Nabi Muhammad SAW diiktiraf sebagai Ketua Negara, Ketua Hakim, dan Ketua Agama bagi Madinah. Hal ini memperkukuh kedudukan Baginda sebagai pemimpin negara Islam Madinah yang diterima oleh semua golongan, termasuk bukan Islam. Pengiktirafan ini juga memperlihatkan kemampuan Baginda dalam soal pemerintahan dan diplomasi, termasuk membuat keputusan dan menyelesaikan pelbagai konflik yang timbul dalam negara.

  2. Pembentukan ummah berbilang agama dan bangsa
    Piagam Madinah mengiktiraf masyarakat Madinah sebagai sebuah ummah. Ummah ini terdiri daripada pelbagai golongan agama dan bangsa, iaitu umat Islam (Ansar dan Muhajirin) dan golongan bukan Islam khususnya Yahudi (Bani Qainuqa', Bani Nadhir, dan Bani Quraizah). Mereka diwajibkan hidup bersama secara harmoni dan saling bekerjasama, sekali gus menjadikan Madinah sebagai sebuah negara pelbagai agama dan kaum yang mempunyai nilai toleransi dan saling menghormati.

  3. Jaminan keselamatan dan keamanan bersama
    Piagam Madinah menetapkan bahawa seluruh penduduk Madinah tanpa mengira agama dan bangsa, masing-masing mempunyai tanggungjawab bersama untuk memelihara keamanan dan keselamatan negara. Mereka diwajibkan bersama-sama mempertahankan Madinah daripada sebarang bentuk ancaman luar. Hal ini menjadikan kesatuan dan semangat kebersamaan sebagai tonggak keamanan negara.

  4. Kebebasan beragama dan beribadat
    Piagam Madinah memberi jaminan bahawa golongan bukan Islam mempunyai kebebasan untuk mengamalkan agama dan adat resam masing-masing selagi tidak mengancam keamanan negara. Nabi Muhammad SAW tidak pernah memaksa golongan Yahudi atau bukan Islam meninggalkan agama dan adat mereka. Mereka juga diberikan kebebasan menyuarakan pendapat dan pandangan bagi menjamin keharmonian hidup bersama.

  5. Kedaulatan undang-undang dan keadilan untuk semua
    Piagam Madinah mengangkat nilai keadilan dengan menetapkan bahawa undang-undang negara mengikat semua pihak tanpa mengira agama atau bangsa. Nabi Muhammad SAW dijadikan tempat rujukan terakhir dalam sebarang pertikaian bagi menjamin keadilan dan kesamarataan untuk semua. Tiada pihak yang berada di luar undang-undang atau lebih mulia daripada pihak lain, termasuk golongan Yahudi.

  6. Pembentukan persaudaraan Islam dan kesatuan sosial
    Piagam Madinah juga membawa usaha menghapuskan semangat asabiah (kesukuan) yang sebelum ini menjadi punca pertelagahan dalam kalangan masyarakat Arab Madinah, khususnya suku Aus dan Khazraj. Nabi Muhammad SAW memupuk semangat persaudaraan Islam (ukhuwah Islamiah) bagi menyatukan golongan Ansar dan Muhajirin dengan menjadikan ikatan akidah dan nilai Islam sebagai landasan kesatuan sosial negara.

  7. Sekatan terhadap pengkhianatan dan larangan bersekongkol dengan musuh
    Piagam Madinah menekankan bahawa semua penduduk Madinah, termasuk golongan bukan Islam dilarang membuat perjanjian dengan musuh negara tanpa izin pemimpin negara. Mereka juga tidak dibenarkan berpihak atau memberi bantuan kepada pihak musuh. Sekiranya terdapat pengkhianatan, pihak yang terlibat akan dikenakan hukuman tegas termasuk pengusiran dari Madinah, bagi menjamin kedaulatan dan keamanan negara.

Prinsip-prinsip Utama Piagam Madinah

Prinsip Kepemimpinan

  1. Nabi Muhammad SAW diisytiharkan dan diiktiraf sebagai pemimpin tertinggi bagi negara Islam Madinah. Bagi menjamin kestabilan politik negara, Baginda telah memperkenalkan dasar pengagihan kuasa dalam pentadbiran Madinah.
  2. Dalam pelaksanaan dasar ini, peranan ketua-ketua kabilah dikekalkan. Mereka diberi autonomi untuk menyelesaikan sebarang pertikaian atau permasalahan dalam kalangan kabilah masing-masing manakala Nabi Muhammad SAW berperanan sebagai tempat rujukan terakhir bagi kes yang tidak dapat diselesaikan di peringkat kabilah.
  3. Untuk memastikan penglibatan menyeluruh seluruh warga Madinah dalam urusan pemerintahan, Baginda telah memperkenalkan prinsip dan amalan syura. Melalui konsep ini, setiap penduduk Madinah tanpa mengira agama atau bangsa, bebas mengemukakan pandangan atau kritikan terhadap dasar-dasar yang dilaksanakan.
  4. Bukti bahawa pemerintahan Nabi Muhammad SAW tidak mengamalkan pemusatan kuasa ialah pembentukan jentera pentadbiran yang terdiri daripada individu-individu berkelayakan bagi mengisi jawatan penting di peringkat pusat dan wilayah. Langkah ini menjamin kelancaran pentadbiran, pengawasan yang menyeluruh, dan mewujudkan kestabilan politik negara Islam Madinah.

Prinsip saling Membantu

  1. Prinsip ini diterapkan khususnya dalam kalangan umat Islam, iaitu bagi mengeratkan hubungan antara golongan Muhajirin dan Ansar. Hal ini menjadi sangat signifikan kerana dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh golongan Muhajirin yang berhijrah ke Madinah dalam keadaan tidak mempunyai harta.
  2. Berlandaskan prinsip ini, golongan Muhajirin dapat membina semula kedudukan ekonomi mereka. Sebagai contoh, Abdul Rahman bin Auf berjaya bangkit semula sebagai seorang usahawan yang sangat berjaya dalam bidang perniagaan hasil sokongan dan bantuan modal daripada golongan Ansar.
  3. Selain itu, penerapan prinsip ini juga penting bagi memperkukuh semangat persaudaraan (ukhuwah Islamiah) dalam kalangan umat Islam. Hal ini sekali gus dapat memperkasakan kedudukan umat Islam bagi menghadapi pelbagai cabaran khususnya daripada golongan Yahudi di Madinah.

Prinsip Kebebasan

  1. Prinsip ini dikaitkan dengan dua bentuk kebebasan, iaitu kebebasan bersuara dan kebebasan beragama.
  2. Kebebasan bersuara jelas dapat dilihat daripada corak kepemimpinan Nabi Muhammad SAW yang menekankan nilai musyawarah, iaitu setiap permasalahan wajar dibincangkan bersama bagi memastikan jalan penyelesaian yang dicapai dapat merungkaikan sebarang kekusutan.
  3. Kebebasan bersuara juga mencerminkan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak bersikap prejudis terhadap golongan bukan Islam. Sebagai warga Madinah, mereka turut diberikan peluang dan hak untuk menyuarakan pandangan serta terlibat dalam urusan pemerintahan negara.
  4. Berkenaan dengan kebebasan beragama pula, golongan bukan Islam dibenarkan mengamalkan agama dan adat masing-masing tanpa paksaan. Nabi Muhammad SAW tidak pernah memaksa golongan Yahudi atau bukan Islam meninggalkan agama dan adat resam mereka, selagi amalan tersebut tidak mengancam atau mengganggu kedudukan Islam dan keamanan negara.

Prinsip Persamaan

  1. Prinsip persamaan ini bertujuan memastikan tiada mana-mana golongan atau kaum yang menganggap dirinya lebih mulia daripada golongan lain. Hal ini dengan tegas menolak amalan dan budaya asabiah yang pernah berakar kuat dalam kalangan masyarakat Arab sebelum Islam.
  2. Prinsip ini juga menjamin bahawa seluruh warga Madinah tanpa mengira bangsa, keturunan atau agama, berada di bawah undang-undang yang sama. Sehubungan itu, setiap kesalahan yang dilakukan akan diadili berdasarkan peraturan yang ditetapkan dan dijatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan berkenaan.
  3. Prinsip ini juga menolak persepsi dan dakwaan golongan Yahudi yang menganggap bahawa mereka lebih mulia daripada kaum lain dengan alasan para nabi dan rasul terdahulu terdiri daripada kalangan Yahudi. Melalui Piagam Madinah, keistimewaan sedemikian tidak diiktiraf, sebaliknya semua pihak tertakluk kepada nilai kesamarataan yang digariskan.
  4. Nabi Muhammad SAW menekankan bahawa dari sudut nilai kemanusiaan, tiada perbezaan antara manusia sekalipun terdapat pelbagai perbezaan dari segi bangsa, warna kulit, status ekonomi, tahap ilmu atau kedudukan sosial, termasuk golongan hamba. Keutamaan manusia hanya diukur berdasarkan tahap takwa kepada Allah SWT. Oleh itu, bagi menjamin kestabilan dan keamanan Madinah, setiap kaum dan golongan dituntut agar saling menghormati, bekerjasama, dan bertoleransi dalam setiap urusan kehidupan bermasyarakat.

Prinsip Kesetiaan dan Keselamatan Negara

  1. Prinsip ini sangat signifikan dalam menjamin keselamatan dan kedaulatan negara Islam Madinah daripada sebarang bentuk ancaman musuh. Seluruh warga Madinah diwajibkan mencurahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Nabi Muhammad SAW dan negara Islam Madinah.
  2. Setiap penduduk Madinah, tanpa mengira agama, bangsa atau keturunan, bertanggungjawab memelihara dan mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman luar. Contohnya, ketika berlaku Perang Khandak, seluruh warga Madinah diwajibkan bersama-sama memperkukuh pertahanan negara bagi menghadapi tentera Ahzab yang mengancam Madinah.
  3. Sebarang bentuk pengkhianatan terhadap negara Islam Madinah tidak dibiarkan tanpa tindakan tegas. Misalnya, golongan Yahudi daripada Bani Quraizah yang berpihak kepada tentera Ahzab semasa Perang Khandak telah dijatuhkan hukuman yang setimpal. Mereka diusir dari kota Madinah dan semua lelaki dewasa dijatuhkan hukuman bunuh sebagai pengajaran dan peringatan kepada pihak lain agar tidak mengkhianati negara.
  4. Prinsip kesetiaan ini juga dapat dilihat melalui peraturan bahawa setiap perjanjian dengan pihak luar perlu dimaklumkan dan mendapat persetujuan Nabi Muhammad SAW. Hal ini bertujuan memastikan keselamatan, keamanan dan kestabilan negara Islam Madinah sentiasa terpelihara.
Peranan dan Kepentingan Piagam Madinah
JADUAL 3.2 Peranan dan kepentingan Piagam Madinah
PerananKepentingan
Sumber perundangan tertinggi negaraPiagam Madinah berperanan sebagai sistem perundangan tertinggi negara yang mengatur kehidupan seluruh penduduk Madinah. Melalui piagam ini, Nabi Muhammad SAW menetapkan bahawa setiap warga, tanpa mengira agama atau suku kaum, wajib mematuhi peraturan dan menjunjung tinggi nilai-nilai yang digariskan. Sekiranya terdapat pelanggaran atau pengkhianatan, Baginda bertindak tegas dengan menjatuhkan hukuman yang setimpal.
Asas penyelesaian isu sosial, ekonomi, dan hubungan antara kaum di MadinahPiagam Madinah berperanan sebagai dokumen perlembagaan bertulis yang mengatur hubungan sosial, ekonomi dan politik antara pelbagai golongan penduduk Madinah (Ansar, Muhajirin dan golongan Yahudi). Melalui piagam ini, semua pihak diberikan kedudukan, tanggungjawab, dan jaminan perlindungan yang jelas bagi memastikan kestabilan dan keamanan negara. Piagam Madinah juga berfungsi sebagai garis panduan bagi pelaksanaan nilai-nilai Islam termasuk semangat persaudaraan (ukhuwah Islamiah), kesamarataan taraf, dan keadilan bagi seluruh lapisan masyarakat Madinah.
Mengawal perilaku dan tindak-tanduk masyarakatPiagam Madinah berperanan sebagai landasan bagi pembentukan sebuah masyarakat yang berdisiplin, harmoni, dan saling menghormati dalam kalangan penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum. Melalui piagam ini, nilai-nilai kesepakatan dan persaudaraan dijadikan asas bagi menghapuskan sikap saling mencurigai, hasut-menghasut, dan perpecahan yang sebelum ini berleluasa, khususnya dalam kalangan kabilah Arab seperti Aus dan Khazraj.

Hasil daripada pelaksanaan Piagam Madinah, pelbagai konflik sosial dan ekonomi yang sebelum ini dihadapi Madinah dapat diselesaikan. Hubungan tegang antara golongan Aus dan Khazraj dapat diselesaikan dengan menjadikan nilai keimanan dan kesatuan sebagai asas perdamaian. Hubungan ekonomi dan sosial di Madinah juga dapat diperkukuh dengan penerapan nilai kerjasama dan pengorbanan bersama golongan Ansar dan Muhajirin sekali gus menjadikan umat Islam sebagai satu ummah yang kukuh dan bermaruah. Bahkan, golongan Yahudi dan bukan Islam lain dapat hidup bersama dengan selamat dan terjamin dari segi agama, ekonomi, dan politik selagi mereka mematuhi peraturan yang termaktub dalam Piagam. Kesannya, Madinah muncul sebagai contoh negara Islam awal yang berjaya memelihara keamanan, keadilan, dan keharmonian bagi semua lapisan masyarakat.

Hasil daripada pelaksanaan Piagam ini, Madinah dapat dibentuk sebagai sebuah negara yang stabil dan aman. Semua golongan dapat hidup bersama dengan penuh keamanan dan keharmonian. Kesepakatan ini memberi ruang kepada golongan Ansar untuk mengukuhkan solidariti, membina semula kekuatan bersama saudara seagama, dan mengangkat nilai ukhuwah Islamiah sebagai landasan untuk memelihara kesatuan umat. Kesannya, Madinah menjadi contoh negara Islam awal yang berjaya memelihara disiplin, keamanan, dan keharmonian bagi semua lapisan masyarakat.

Pengiktirafan kepemimpinan Nabi Muhammad SAW, Piagam Madinah berperanan mengesahkan Nabi Muhammad SAW sebagai Ketua Negara Islam Madinah yang memimpin bukan sahaja umat Islam tetapi juga seluruh warga Madinah yang terdiri daripada pelbagai agama dan suku kaum. Dalam pelaksanaan pemerintahan, Baginda berperanan merangka dasar-dasar pentadbiran yang berpaksikan nilai keadilan dan kesaksamaan tanpa prejudis yang selaras dengan wahyu Allah SWT.

Piagam Madinah berperanan memastikan kedaulatan negara terpelihara daripada ancaman luar. Tiada pihak yang dibenarkan membuat perjanjian atau pakatan sulit dengan pihak luar tanpa merujuk dan mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada Nabi Muhammad SAW selaku Ketua Negara Madinah. Melalui peraturan ini, kesepakatan bersama dapat dicapai bagi menjamin kedaulatan negara Madinah dapat dipertahankan.

Piagam Madinah juga berfungsi untuk menghalang golongan tertentu daripada menjadi dalang kepada konflik atau mencetuskan provokasi yang membawa kepada pertumpahan darah dan kemusnahan harta benda. Hasil dari penerapan nilai-nilai ini, Madinah berjaya dibentuk sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat bersatu padu yang dikenali sebagai ummah. Di mana hasil daripada peraturan ini, memastikan kedaulatan negara Madinah tidak dicabar dari dalam, sekaligus menjamin keamanan dan kestabilan negara Islam yang baharu terbentuk.